KUALA LIPIS 15 Mei – Para petani yang terlibat dalam projek pertanian Pulau Berala, Kampung Kuala Telang, dekat sini mengadakan pesta menuai dan makan jagung manis sempena tuaian hasil pertama tanaman itu selepas musibah banjir.
Sebanyak 300 tongkol jagung manis yang baharu dituai direbus dan dibakar untuk dijadikan hidangan sempena pesta berkenaan di Pusat Rekreasi Pulau Berala, berdekatan Sungai Jelai.
Ketua Kampung Kuala Telang, Satmi Othman berkata, projek tanaman jagung manis itu merupakan agenda pembangunan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Pejabat Daerah Lipis untuk menambahkan pendapatan petani yang terdiri daripada belia dan bekas tentera.
Tanaman jagung ini bermula pada tahun lepas tetapi musnah akibat banjir. Selepas kejadian itu, projek diteruskan dan akhirnya berbaloi apabila petani di sini memperoleh hasil yang cukup banyak sehingga kita merancang untuk mengadakan pesta ini.
Pesta menuai dan makan jagung itu bertujuan mengeratkan hubungan penduduk dengan pemimpin setempat dan ketua jabatan di Lipis kerana mereka banyak menyumbangkan bantuan kewangan dan bimbingan sehingga projek ini bernafas semula,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long.
Sebanyak 250 penduduk kampung dan beberapa pegawai pejabat daerah hadir memeriahkan pesta itu.
Sementara itu, Mustapa berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM30,000 untuk kerja membaik pulih kemudahan asas kawasan projek berkenaan selepas ditenggelami banjir penghujung tahun lepas.
“Usaha membaik pulih melibatkan pembinaan semula pagar, perparitan, bekalan air dan kebersihan yang diselenggarakan oleh Pejabat Daerah Lipis dijangka siap sepenuhnya dalam masa terdekat.
“Projek tanaman jagung manis akan dilebarkan lagi kerana tanah tanih terbiar masih luas dan memenuhi hasrat JKKK dan kerajaan untuk mewujudkan Pulau Berala sebagai pengeluar makanan berasaskan jagung dan tanaman kontan lain di Pahang Barat,” ujarnya.
Beliau berkata, usaha kerajaan dan agensi berkaitan juga untuk membantu petani luar bandar yang berpendapatan rendah agar mampu mengeluarkan hasil berjadual bagi memenuhi permintaan di pasaran selain memperoleh pendapatan lumayan.
Tambahnya, kedudukan projek jagung berdekatan dengan pusat rekreasi dan riadah Pulau Berala memberi peluang petani memasarkan hasil itu kepada pengunjung yang datang berkelah dan berkhemah setiap hujung minggu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan